"BLOG INI KHAS UNTUK PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN.TERIMA KASIH KERANA JADI PENGGUNA BIJAK"

MALAYSIA SUBUR BUDAYA E-DAGANG

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Malaysia akan terus me­ne­rapkan budaya e-dagang dan dalam usaha untuk me­wujudkan ekosistem digital yang inovatif dan dinamik apabila menjalin kerjasama erat dengan China untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Alibaba Group baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman untuk menghubungkan e-hab di bawah Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP).

HSBC Bank Malaysia Bhd. berkata, kerjasama tersebut bertujuan untuk membina infrastruktur bagi perdagangan e-dagang merentas sempadan yang lancar antara Malaysia dan China, selain menjadi hab bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menjalankan aktiviti komersial, dan mereka boleh mendapatkan perkhidmatan terdiri daripada e-dagang, pengkomputeran awan, logistik, pembayaran mudah alih dan latihan tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Mukhtar Hussain, berkata teknologi digital yang semakin meluas pen­ting untuk mengukuhkan produktiviti, inovasi dan taraf hidup me­rentasi ekonomi yang lebih luas.

“Dengan eWTP, Malaysia me­­neruskan visi transformasi eko­nominya dan mengambil langkah untuk menjadi hab penunaian dan sumber utama di Asia,” kata­nya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, #MYCYBERSALE dengan kerjasama MDEC, mencapai nilai dagangan kasar (GMV) lebih RM300 juta pada tahun ini, meningkat 42 peratus berbanding RM211 juta pada 2016, dalam tempoh lima hari dari 9-13 Oktober lalu.

Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan lebih 1,000 PKS dalam talian menerapkan e-dagang dan meningkatkan inovasi selain merangsang pasaran e-dagang domestik.

“Kejayaan inisiatif itu menunjukkan rakyat Malaysia terus me­nerapkan budaya e-dagang.

“Kita dapat melihat perubahan dari segi cara rakyat Malaysia membeli-belah. Suatu yang baik untuk melihat industri e-dagang dan ekonomi digital berkembang dengan begitu pesat,” kata Mukhtar.

Beliau berkata, kemasukan penyedia dompet elektronik (e-dompet) turut dijangka mengubah landskap sistem pembayaran di Malaysia.

Kemunculan e-dompet akan terus menyumbang kepada pembangunan e-dagang dan menambah baik sistem pembayaran runcit dengan menawarkan proses pembayaran yang selamat, cepat dan mudah selain menyokong usa­ha global ke arah masyarakat tanpa tunai, kata Mukhtar. – BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/malaysia-subur-budaya-e-dagang-1.564829

E-DAGANG MALAYSIA KINI INDUSTRI BERNILAI RM246 BILION - iPRICE

KUALA LUMPUR: Industri e-dagang Malaysia berkembang pesat selepas lonjakannya pada pertengahan 2000-an dan kini merupakan perniagaan yang bernilai RM24.6 bilion, kata iPrice Group.

iPrice Group ialah laman web e-dagang meta-carian yang membolehkan pembeli Malaysia berhubung dengan beratus-ratus peniaga e-dagang dan mencari produk, membanding harga dan mendapatkan tawaran terbaik.

iPrice dalam satu kenyataan hari ini berkata Lazada berada di senarai teratas syarikat e-dagang utama di Malaysia, diikuti Zalora dan 11 Street, berdasarkan kepada trafik dalam talian mereka, jumlah kakitangan dan pengikut di aplikasi media sosial seperti SimilarWeb, LinkedIn, Facebook, Instagram dan Twitter.

Laman web Lazada menerima purata 29 juta pengunjung setiap bulan manakala 11 Street sembilan juta pengunjung.

"Kesemua tiga syarikat e-dagang utama ini berpangkalan di Asia Tenggara.

"Walaupun laman web e-dagang dari luar rantau Asia Tenggara seperti eBay dan Sephora juga dilayari rakyat Malaysia, laman e-dagang serantau dan tempatan dianggap lebih berjaya, kemungkinan disebabkan oleh pengetahuan lokal pasaran e-dagang tempatan yang memberikan mereka kelebihan," kata laman web itu.

Sementara itu, Lelong.com berada dalam senarai teratas syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia, dengan laman webnya mencatatkan purata trafik 6.33 bilion semasa suku kedua 2017.

"Ditubuhkan pada 1998, Lelong.com kemungkinan merupakan syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia yang paling lama dan ia kekal menjadi platform dagang-bagi-dagang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana mereka merupakan antara yang pertama melihat potensi e-dagang," kata laman web itu.

IPrice berkata e-dagang fesyen tempatan seperti Fashion Valet dan Poplook juga semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Jenama tempatan ini biasanya berkembang menerusi laman media sosial seperti Instagram, di mana mereka dengan mudah boleh mempamerkan produk mereka menerusi imej dan perkongsian dengan jenama dan selebriti popular tempatan," kata laman web itu.

Menurut IPrice, jenama fesyen di Malaysia meraih manfaat daripada penggunaan model e-dagang dalam menjalankan operasi mereka kerana ia membolehkan mereka menyusun perniagaan mereka mengikut keperluan pengguna.

-- BERNAMA

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-bisnes/e-dagang-malaysia-kini-industri-bernilai-rm24-6-bilion-iprice-152711

PERDAGANGAN DAN E-DAGANG

Malaysia merupakan salah sebuah daripada 20 negara perdagangan terbesar di dunia dan merupakan salah sebuah pembekal terbesar dunia bagi barang-barang seperti produk berasaskan getah, produk berasaskan kelapa sawit, produk berasaskan kayu, produk elektronik dan ICT, produk automotif, tekstil, buah-buahan dan makanan, dan produk-produk petrokimia.

Eksport
Aktiviti eksport iaitu menjual produk yang dihasilkan dalam negara ini kepada negara lain merupakan salah satu punca pendapatan negara yang banyak membantu pertumbuhan ekonomi.  Kerajaan menyediakan sistem sokongan bagi membantu pengeksport dari segenap aspek termasuk bantuan pemasaran dan promosi, pembiayaan, pengiktirafan, perundangan, panduan dagang dan sebagainya.

Kemudahan Untuk Pengeksport
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) adalah agensi utama yang bertindak sebagai pusat aktiviti bagi pengeksport Malaysia dan pengimport luar negara untuk mendapatkan maklumat berkaitan perdagangan antarabangsa.  Kemudahan yang disediakan MATRADE bertujuan membantu syarikat-syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa, seterusnya mengukuhkan imej Malaysia sebagai rakan kongsi perniagaan bertaraf global.

Kemudahan Untuk Pengimport Asing
Di samping menyediakan kemudahan untuk pengeksport Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga menyediakan kemudahan untuk pengimport dari luar negara dalam membina jalinan perniagaan dengan pengeksport Malaysia.  

Import
Malaysia telah menjalin perhubungan perdagangan termasuk perhubungan dua hala dengan banyak negara di rantau Asia, Afrika, Amerika, Australasia, Eropah dan Asia Barat.  Pengusaha perniagaan Malaysia boleh mengimport barang-barang dari luar negara untuk diedarkan di Malaysia.  

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian menyediakan khidmat pemudahan perdagangan bagi membantu pengimport manakala Kastam Diraja Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan tertentu telah menetapkan beberapa peraturan dan tatacara. 

Duti dan Cukai
Kerajaan Malaysia mengenakan duti dan cukai ke atas barang-barang yang dieksport/import.  Duti dan cukai dikutip dan diuruskan oleh Kastam Diraja Malaysia.

Perjanjian Perdagangan
Dasar perdagangan Malaysia bertujuan untuk melaksanakan liberalisasi menerusi peraturan berdasarkan sistem perdagangan pelbagai hala di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Selain itu juga Malaysia juga memilih untuk melaksanakan penyusunan perdagangan dua hala. 

Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA)
AFTA ialah zon perdagangan bebas antara negara-negara ASEAN iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja dan Brunei. AFTA merupakan satu usaha untuk melonggarkan halangan perdagangan supaya mendapat faedah terus. 

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)
WTO (dahulunya Perjanjian Am Ke Atas Tarif dan Perdagangan (GATT) merupakan salah satu organisasi global yang berurusan dengan peraturan perdagangan di antara negara-negara. Tujuan utama penubuhan WTO adalah untuk membantu pengeluar barangan, pengeksport, dan pengimport untuk mengendalikan perniagaan mereka.

Skim Tariff Keutamaan Sama Rata ( CEPT )
Skim Tariff Keutamaan Sama Rata (CEPT) adalah kerjasama di antara negara-negara ASEAN untuk mengurangkan tariff serantau (intra-regional) dan melucutkan sekatan bukan tarif. Selama 10 tahun berkuatkuasa pada 1 Januari 1993.

Lesen dan Permit 
Aktiviti import dan eksport adalah di bawah kawalan Akta Larangan Kastam 1967 bagi memberi perlindungan kepentingan kepada pengilang, kepentingan kesihatan dan kitar hayat kilang tempatan dan juga kepentingan keselamatan negara. Lesen dan permit untuk mengeksport dan mengimport harus diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.

Program Latihan Eksport
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan seminar dan bengkel bagi mengemaskini pengeksport dengan maklumat perdagangan dan perniagaan di pasaran antarabangsa.  

Promosi Perdagangan 
Kerajaan mempertanggungjawabkan beberapa agensinya dalam mempromosikan produk untuk didagangkan. Agensi-agensi ini melaksanakan program-program bertujuan memperkenalkan produk-produk baru ke pasaran dan membantu usahawan memasarkan produk mereka. Antara agensi yang bertanggungjawab menjalankan promosi perdagangan bagi peniaga tempatan ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Statistik Perdagangan 
Pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh dilihat pada statistik yang telah disediakan oleh agensi-agensi yang terlibat dengan aktiviti perdagangan.

E-Dagang 
Internet merupakan alat komunikasi yang amat berkuasa di dalam perdagangan. Perdagangan yang dijalankan melalui Internet (e-Dagang) adalah lebih pantas dan cekap kerana pedagang dapat mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa urusniaga dan penghantaran serta meluaskan jalinan strategik di antara pedagang.  

E-Perolehan 
E-Perolehan membolehkan para pembekal memamerkan produk mereka di dalam jaringan web sedunia; menerima, mengurus dan memproses pesanan pembelian serta menerima bayaran daripada agensi-agensi kerajaan menerusi Internet.

Maklumat Pasaran Antarabangsa 
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga menyediakan maklumat mengenai pasaran antarabangsa untuk pengeksport-pengeksport Malaysia. 

Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/umum/1170-perdagangan-dan-e-dagang.html

MALAYSIA MAMPU CAPAI SASARAN E-DAGANG

KUALA LUMPUR 7 Nov. - China berharap Malaysia mampu mencapai sasaran industri e-dagang dengan meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi digital.

Timbalan Menteri Perdagangan China, Wang Bingnan berkata, ia amat penting kerana kedudukan Malaysia amat strategik sebagai gerbang kepada ekonomi di rantau ASEAN yang merangkumi 625 juta penduduk.

Katanya, sehubungan itu, PKS perlu merebut peluang tersebut dengan melonjakkan penglibatan mereka dalam e-dagang terutama dengan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang dijangka menyediakan pelbagai peluang untuk menembusi pasaran baharu.

“Kementerian Perdagangan China (Mofcom) menerusi pelan tindakan e-dagang akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan memastikan ia membawa hasil yang berkesan pada masa hadapan,” katanya dalam ucapan pada Forum Mini E-Dagang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ir. Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros dan Pengarah Kanan Ekonomi dan Divisyen Hubungan Dagangan MITI, Bahria Mohd. Tamil.

Forum mini itu dianjurkan Majlis E-Dagang Kebangsaan dan Mofcom untuk memberi peluang kepada PKS mendapat manfaat daripada Zon Be bas Perdagangan Digital (DFTZ).

Di bawah Hala Tuju Strategik E-Dagang, kerajaan menyasarkan peningkatan pertumbuhan e-dagang kepada 20 peratus menjelang 2020 berbanding 11 peratus ketika ini dengan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM211 bilion.

Sementara itu, Ka Chuan berkata, pihaknya berharap pada suku pertama tahun hadapan dapat mewujudkan satu kerangka khusus mengenai e-dagang dengan China terutamanya berkaitan dengan dasar dan polisi yang rumit.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu berkenaan perkara tersebut bagi memudahkan urusan dagangan kedua-dua buah negara kerana terdapat beberapa produk yang sukar menembusi negara tersebut, misalnya barangan penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan.

“Kita berharap mempunyai satu pelan yang memudahkan hubungan dagangan ini contohnya menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dapat melancarkan urusan dengan pihak kastam di China dan membawa masuk produk tempatan ke sana,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/malaysia-mampu-capai-
sasaran-e-dagang-1.548746#ixzz5Emp2MJqB 

Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/malaysia-mampu-capai-sasaran-e-dagang-1.548746

UNDANG-UNDANG E-DAGANG PERLU LEBIH TEGAS - FOMCA

PETALING JAYA, 15 Mac (Bernama) -- Terdapat keperluan menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas terhadap industri e-dagang di negara ini ekoran jumlah aduan yang sangat tinggi melibatkan urusniaga dalam talian sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Penasihat undang-undang Pusat Aduan Konsumer Kebangsaan (NCCC) Shabana Naseer berkata sejumlah 22,704 aduan diterima antara 2014 hingga 2016 yang melibatkan kerugian RM12 juta kepada pengguna.

"Undang-undang berkaitan e-dagang sudahpun wujud namun ia memerlukan penambahbaikan agar selari dengan perkembangan pesat dalam bidang teknologi. Pemikiran pengguna juga perlu diubah agar peka dengan hak mereka," katanya dalam sidang akhbar mengenai Hari Hak Pengguna Sedunia (WCRD) di sini hari ini.

Shabana berkata sungguhpun terdapat peruntukan undang-undang berkaitan e-dagang di Malaysia namun ada bidang tertentu yang tidak mempunyai mekanisme bagi perlindungan e-pengguna serta untuk menangani sifat pembelian dalam talian.

Disambut pada 15 Mac setiap tahun, WCRD merupakan acara bagi solidariti di kalangan pergerakan pengguna antarabangsa. Tema bagi sambutan global tahun ini ialah 'Menjadikan pasaran digital yang lebih adil', manakala Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah memilih tema sambutan 'Perlindungan Pengguna dalam e-dagang'.

Sumber: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1444914

FAHAMI HAK PENGGUNA KETIKA URUSNIAGA DALAM TALIAN

PUTRAJAYA - Generasi muda perlu memahami hak serta memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing terutamanya apabila berurusan di dalam talian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, kesedaran dan pengetahuan mengenai  perkara berkaitan hak pengguna apabila berurusan secara dalam talian boleh mengelakkan penipuan.

"Rakyat hendaklah jelas dengan kuasa pengguna yang mereka miliki, bijak dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam situasi tertentu terutamanya apabila berhadapan dengan kes-kes penipuan dalam talian," katanya dalam ucapan pada Sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini hari ini.

Teks ucapan Hamzah dibacakan oleh timbalannya, Datuk Henry Sum Agung.
Hamzah berkata, tema sambutan pada kali ini iaitu 'Menjadikan Pasaran Digital yang Lebih Adil' bertujuan memberi penekanan kepada hak pengguna dalam dunia digital masa kini.

Tambah beliau, pada masa ini terdapat 26 buah syarikat pengendali pasar dalam talian (e-commerce market place operator) di Malaysia.
Katanya, pengendali pasar dalam talian perlu mematuhi Akta Perdagangan Elektronik 2006 dan Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad  yang menjalankan perniagaan dalam talian yang didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)  meningkat 49 peratus pada 2017 berbanding 2016,  jelas Hamzah.

Beliau berkata pada 2016 syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad yang didaftarkan di SSM adalah sebanyak 43,382 dan jumlah itu meningkat kepada 64,910 pada 31 Disember 2017.  - Bernama

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/fahami-hak-pengguna-ketika-urusniaga-dalam-talian-1.809929