"BLOG INI KHAS UNTUK PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN.TERIMA KASIH KERANA JADI PENGGUNA BIJAK"

DETIK KODAK DAN REFORMASI EKONOMI MALAYSIA


Kehadiran industrialis yang ramai dalam masyarakat Amerika pada ketika itu menunjukkan kelebihan masyarakat tersebut dan kualiti institusinya. Salah satu ciri-ciri yang kelihatan dalam masyarakat tersebut adalah sentiasa mempunyai alasan kukuh untuk berusaha ke arah kecemerlangan sebagai ahli saintis dan teknologi, dan sentiasa terdapat bekalan pencetus wawasan yang sentiasa ingin mengambil risiko dan mengumpul dana untuk menampung risiko tersebut. Apa yang wujud adalah sebuah kombinasi kukuh untuk perkembangan inovasi.

George Eastman merupakan Henry Ford kepada filem dan kamera. Beliau memulakan Eastman Kodak dan melancarkan kamera pasaran massa pertama pada tahun 1888. Pada masa itu kos untuk memiliki kamera adalah US$1 dan produknya sangat kecil serta mudah digunakan –“apa hanya perlu klik, kami akan lakukan selebihnya (all you need to do is click, we’ll do the rest).” Syarikat milik Eastman beterusan menentukan definisi filem dan fotografi sehinggga menjadi sinonim dengan jenama Kodak.

Selama bertahun-tahun, detik untuk merakamkan sesuatu peristiwa telah dikenali sebagai “Detik Kodak” (Kodak Moment) untuk ramai orang. Ketika kemuncaknya padad tahun 1970an, syarikat itu mengupah seramai 150,000 pekerja di serata dunia dan mendominasi filem dan fotoggrafi. Namun pada 19 Januari tahun ini, Kodak memfailkan perlindungan daripada penghutangnya sementara mencari lebih kredit untuk bertahan selama mungkin bagi menampung dan mengukuhkan kewangannya.Ini adalah perkara yang dilakukan bagi setiap syarikat untuk perlindungan daripada jatuh muflis. Kita berkemungkinan besar akan menyaksikan pengakhiran Kodak sebagai sebuah syarikat.

Kodak adalah sebuah syarikat yang dibina berlandaskan pengetahuan dan teknologi. Hingga hari ini, asset terbesarnya adalah pelbagai paten yang dimilikinya, simbol kehebatan teknikal Kodak. Walaupun tidak ketara, berdasarkan keadaan pada masa ini, Kodak adalah syarikat pertama yang mengeluarkan kamera digital. Kodak memiliki teknologi yang mampu menjadi pendahulu dalam fotografi digital, tetapi menolaknya dan menangguhkan usaha tersebut kerana bimbang perniagaan filem yang didominasinya akan dimusnahkan.

Sementara itu, kemunculan jenama baru dalam dunia fotografi yang hampir keseluruhannya daripada Jepun, seperti Canon, Nikon, Fuji dan Olympus menentukan definisi baru dan menarik pasaran filem digital dan fotografi yang lebih besar. Kodak telah ketinggalan, dengan kelebihan teknologi tinggi yang tidak lagi relevan kepada pengguna.

Dapat disimpulkan bahawa Kodak telah luput daripada pasaran bukan kerana produknya yang tidak boleh digunapakai, tetapi sebab kekurangan kemampuan untuk mencipta produk baru. Kodak tahu cara untuk mengeluarkan kamera digital tetapi menolak untuk berbuat sedemikian kerana Kodak sebuah syarikat pengeluar filem yang dominan. Kodak menolak untuk mengorbankan sesuatu demi satu perkara yang lebih besar di masa hadapan.

Canggung rasional dalam perubahan ini adalah kegagalan mengorbankan keuntungan jangka pendek untuk keuntungan jangka panjang. Kesukaran untuk melakukan perkara ini terbukti boleh membawa kemusnahan waima syarikat perintis seperti Kodak. Syarikat tersebut sememangnya cemerlang dalam apa yang dilakukannya dan hingga ke hari ini Kodak masih ulung dalam bidang pengimejan. Ini menjadikan realiti sesebuah kejatuhan boleh memperdayakan dimana tahap kejatuhan sesuatu perkara itu tidak disedari sehingga sudah terlambat. Ini seperti penyakit kencing manis berbanding penyakit kronik yang biasanya mengambil nyawa anda secara cepat dan serta-merta.

Kisah Kodak ini mengingatkan saya kepada reformasi berterusan di Malaysia. Kita tidak dapat mengubah apa-apa sekiranya kita sentiasa melakukan perkara yang sama. Potensi pengeluaran akan kekal di takuk lama. Pada masa ini, kita melihat potensi perkembangan ekonomi telah menurun selama dua dekad, sebuah kejatuhan secara gradual/berperingkat sebelum 1998 kepada dekad sebelum kemelesetan ekonomi yang terbaru pada tahun 2009. Potensi perkembangan ekonomi kini berada pada lingkungan 4.5% hingga 5.5% dengan kejatuhan seiring dengan masa.

Penggerak utama dalam ekonomi Malaysia adalah sektor sumber aslinya. Kita menikmati kelebihan daripada segi persaingan dalam sektor ini sama ada daripada gas dan minyak ataupun minyak sawit. Firma milik Malaysia dalam sektor ini mahir dalam bidang masing-masing menjadikan mereka berdaya saing. Tanpa pelaburan baru dalam penerokaan minyak dan gas, jumlah keseluruhan pelaburan mungkin cuma hanya diperolehi daripada urusniaga hartanah semata-mata.

Jika tidak kerana bekalan minyak mentah dan minyak masak, firma milik Malaysia tidak akan mendapat keuntungan daripada permintaan yang tinggi terhadap komoditi. Kemungkinan besar, pendapatan yang dijana oleh harga komoditi yang baik – yang paling baru selepas permintaan menggalakkan penggunaan peribadi – menyumbang sebahagian besar perkembangan meluas yang kelihatan beberapa tahun kebelakangan.
Secara keseluruhannya, ini perkembangan positif yang menjurus kepada lebih perlakuan yang berulang. Sememangnya, beberapa logik dalam inisiatif masa kini sedang mengikut corak yang sama.

Walaubagaimanapun, kisah Kodak telah menunjukkan bahaya bergantung telalu lama kepada sesuatu yang baik pada keadaan semasa. Kisah perubahan dan transformasi adalah tentang membangunkan keupayaan baru dan melakukan perkara baru. Keadaan harga relatif buat masa ini, yang menentukan insentif dan perbuatan rasional, melarang kita daripada menggunakan peruntukan daripada sumber asli untuk perkara-perkara baru. Kita tidak boleh berterusan meluaskan kawasan untuk tanaman minyak sawit, contohnya. Kita juga tidak boleh bergantung kepada penemuan telaga minyak semata-mata sebagai sumber pembangunan dan menjana pulangan modal kewangan.

Oleh itu, pelaburan dalam peluang seperti ini adalah sesuatu yang wajar daripada segi kewangan buat masa ini sama seperti melaburkan pulangan ini untuk kelas hartanah terpilih. Namun, bidang ekonomi akan menjurus kearah tahap pulangan yang semakin berkurangan dengan cepat sekiranya ini satu-satunya sumber untuk pembangunan.

Objektif transformasi seharusnya melakukan sesuatu yang tidak rasional pada masa ini bagi mendapatkan kedudukan yang lebih baik pada masa hadapan. Jadi, bagaimana kita memastikan sumber - kewangan dan tenaga kerja - diperuntukkan kepada perusahaan baru walaupun dengan adanya pulangan menarik dengan hanya melakukan perkara yang sama?

Dalam konteks Malaysia, campurtangan polisi perlu memfokuskan kepada harga dan kos kegagalan dalam menangani struktur insentif untuk pelabur dan usahawan. Secara semulajadi, akan ada manusia yang mengambil risiko, tetapi juga secara semulajadi, manusia kadangkala sudah kedalun dengan tabiat lama. Jika hukuman untuk kegagalan menjadi keterlaluan, pemeliharaan diri akan memaksa sikap berhati-hati dan pengelakan risiko.

Undang-undang muflis tidak seharusnya wajib dikenakan ke atas syarikat dan orang persendirian yang telah mencuba dan gagal. Undang-undang yang bersifat menguntungkan golongan yang menawarkan pinjaman perlu diseimbangkan. Ideanya untuk tidak menghukum kegagalan, tetapi untuk bersikap adil kepada semua pihak bergantung kepada keadaan dan untuk mengelakkan penipuan.

Mereka yang telah mencuba dan gagal patut kembali bertindak secepat mungkin kerana mereka lebih berpeluang untuk berjaya daripada mereka yang tidak mencuba langsung. Polisi kepada tenaga kerja kadang-kadang menjadi punca penghalang sesebuah produktiviti. Polisi imigresen yang songsang antara salah satu contoh. Penarikan semula polisi ini akan menunjukkan sama ada terdapat usaha serius dalam reformasi tenaga kerja.

Pasaran kewangan dan modal juga perlu memberi peruntukkan yang cukup kepada idea dan bidang yang baru. Sikap tidak sabar untuk memperolehi pulangan tinggi dengan cepat pada masa yang singkat hanya akan mengulangi perkara sama yang sedang berlaku. Sementara perkembangan modal sememangnya penting, apa yang tiada di Malaysia adalah bekalan modal berisiko dan kemahiran menguruskan modal berisiko. Sepatutnya ada lebih banyak dana modal niaga untuk melabur dalam benih-benih idea mula tumbuh dan melawan nafsu untuk buat perkara yang biasa.

Salah satu cara menghapuskan gangguan harga dalam ekonomi domestik yang wujud dalam kemewahan sumber adalah seperti apa yang telah dilakukan di Norway dan Chile. Norway sebuah negara kecil dengan hasil minyak yang besar. Pada mulanya dinamakan Dana Minyak (Oil Fund) tetapi kini dikenali sebagai Dana Petroleum Kerajaan(Government Petroleum Fund). Sumber dana itu diperolehi daripada caj dan keuntungan yang diperolehi daripada industri minyak.

Walaupun kerajaannya mempunyai akses ke atas dana itu, ideanya untuk mengasingkan ekonomi domestik daripada lebihan minyak mentah. Ini sebuah dana kepunyaan generasi Norway masa hadapan dan sebahagian besarnya dilaburkan di luar negara bagi mengelakkan gangguan dalam negeri. Chile melakukan perkara yang sama ke atas Dana Penstabilan Ekonomi dan Sosial (Social and Economic Stabilisation Fund) terhadap keuntungan yang diperolehi daripada perlombongan tembaga.

Mekanisma ini secara efektif telah memiliknegarakan sewa ekonomi yang diambil daripada sumber asli dan diasingkan daripada ekonomi dalam negara. Dengan cara ini, harga relatif dalam ekonomi sedia ada tidak terganggu dengan sewa berdasarkan sumber asli. Ini merupakan salah satu cara melepaskan diri daripada kesan gangguan sumber yang menjadi penghalang kepada Malaysia selain turut menjadi salah sebuah pertukaran kekayaan antara-generasi serta bertindak sebagai dana kecemasan kepada kerajaan, Malasyia sepatutnya memikirkan secara serius mekanisma-mekanisma ini.

Apa yang diperlukan Malaysia hari ini adalah apa yang telah wujud di Amerika Syarikat semasa Kodak dicipta - bekalan para saintis dan teknologi yang baik serta bekalan pakar inovasi dan usahawan serta sebuah persekitaran yang menggalakkan tingkahlaku mengambil risiko lebih daripada kelakuan yang patuh atau pak turut semata-mata.

Perkara ini memerlukan perubahan radikal kepada banyak insititusi. Kita sedang berada dalam detik Kodak.

Sumber: http://www.khazanah.com.my/About-Khazanah/Our-Case-Studies/Khazanah-360/A-Kodak-moment-and-Malaysia-s-economic-reforms?lang=ms-my

TIGA CABARAN UTAMA MENANTI


PUTRAJAYA: Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan Ekonomi Digital, Kecekapan Digital Kerajaan, Kesediaan dan Keupayaan (DGCCR) serta Melakar Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah tiga cabaran utama sedang dan bakal dihadapi penjawat awam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bagi mendepani Industri 4.0 dan ekonomi digital, Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha menjayakan Dasar Digital Malaysia, malah pelancaran Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dilihat bakal menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital pertama di dunia di luar China.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dijangka mewujudkan lebih 60,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu khususnya kepada generasi muda.

"Penjawat awam perlu menyediakan persekitaran kondusif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital melalui pelaksanaan kerajaan digital sepenuhnya bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan dan masyarakat.

"Penjawat awam juga harus meningkatkan kecekapan dan keupayaan masing-masing supaya agensi kerajaan boleh bertindak sebagai fasilitator perkhidmatan dalam menambah baik kesalinghubungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelopori inisiatif DGCCR bagi menyediakan penjawat awam selaras pelaksanaan kerajaan digital.

"Cuba bayangkan, sektor awam yang mengguna pakai teknologi digital seperti cloud, mudah alih, media sosial dan Internet of Things atau IoT serta analisis data raya yang mampu menambah nilai penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

"Inilah antara realiti persekitaran kerja sebenar penjawat awam dalam kerajaan digital pada masa akan datang.

"Saya ingin menarik perhatian semua supaya menyokong usaha JPA dalam menyediakan penjawat awam ke arah pelaksanaan inisiatif berkenaan," katanya.

Najib juga mahu penjawat awam bersama-sama dengan kerajaan bagi melakar dan merealisasikan visi TN50 demi mencapai kegemilangan seperti diimpikan.

Menerusi amanat perdana MAPPA Ke-15 enam bulan lalu, beliau melancarkan buku Falsafah Asas TN50 yang banyak mengupas enam falsafah dan garis besar haluan menuju TN50.

Ia termasuk merekayasa Malaysia menjadi negara maju yang mencapai keseimbangan duniawi dan ukhrawi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/407570/tiga-cabaran-utama-menanti-pm

PENARAFAN KREDIT BUKTI EKONOMI NEGARA DIURUS BAIK


KUALA LUMPUR: Malaysia berisiko diturunkan penarafan kredit jika ekonomi negara tidak diurus dengan baik, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata, sekiranya penafaran kredit diturunkan, kos pinjaman akan meningkat sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"A- atau A3 membolehkan syarikat korporat meminjam pada tahap yang munasabah. Sekiranya kredit negara diturunkan, maka kos pinjaman akan meningkat," katanya di luar acara Invest Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan amanat yang cukup jelas mengenai pencapaian ekonomi negara sejak 2009.

"Apa yang telah kita (kerajaan) lakukan bukan hanya untuk pasaran yang meluas, tetapi mentadbir dengan pelbagai dasar dan langkah untuk menjadikan ekonomi negara lebih inklusif, adil dan mampan. Inilah cara kerajaan menguruskan kewangan.

"Melihat kepada pakej yang lebih holistik, ekonomi makro, dasar monetari dan prestasi sektor korporat sangat penting dan diharapkan ia bertambah baik pada 2018 dalam usaha meningkat pendapatan, mengoptimumkan kos dan menjana lebih banyak pulangan kepada pemegang saham," katanya.

Beliau berkata, semua pihak juga perlu mengambil langkah mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula jadi dan mempelbagaikan asas pendapatan.

Mengulas mengenai prestasi kewangan PNB, Abdul Wahid berkata, syarikat pelaburan itu mencatatkan momentum positif bagi bulan pertama 2018 dan ia dijangka berterusan sepanjang tahun ini.

"2017 adalah tahun yang sangat baik bagi Malaysia dan kesannya dapat dirasai dalam pasaran saham di mana KLCI meningkat sebanyak sembilan peratus pada tahun lalu.

"Bagi syarikat kami, pasaran permodalan meningkat dua kali ganda. Memasuki 2018, momentum ini dijangka berterusan," katanya.

Menyentuh mengenai prestasi ringgit, beliau menjangkakan ringgit kekal kukuh pada tahun ini disokong oleh keyakinan pelabur asing dan pengukuhan sektor perniagaan.

Sumber: http://www.bhplus.com.my/bisnes/pasaran/2018/01/379430/penarafan-kredit-bukti-ekonomi-negara-diurus-baik

BNM MULAKAN LANGKAH MENJADIKAN MATA WANG DIGITAL LEBIH TELUS

BANK Negara Malaysia (BNM) sedang berusaha untuk menjadikan mata wang digital sebagai medium yang lebih telus di Malaysia dengan pengeluaran draf cadangan bagi maklum balas orang ramai, mengenai penggunaan obligasi pelaporan bagi perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Bank pusat itu dalam satu kenyataan, berkata ia bertujuan bagi memastikan langkah-langkah yang berkesan dilaksanakan untuk menangani risiko pembiayaan keganasan/pengubahan wang haram yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital serta meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

"Dasar yang dicadangkan ini menggariskan obligasi undang-undang, keperluan dan piawaian yang akan ditakrifkan di bawah Jadual Pertama AMLA, yang perlu dilaksanakan sebagai laporan institusi.

"Ini termasuk obligasi ketelusan yang bertujuan untuk memberikan maklumat yang relevan kepada orang ramai bagi lebih memahami dan menilai risiko yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital. Ketelusan yang tinggi juga  akan dapat mengelakkan penggunaan mata wang digital dalam aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Penukar mata wang digital juga perlu memberikan maklumat terperinci kepada BNM sebagai sebuah institusi pelaporan.

Kegagalan untuk berbuat demikian atau mematuhi obligasi pelaporan mungkin menyebabkan penukar mata wang digital dikenakan tindakan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah AMLA, termasuk kemungkinan penamatan atau tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

BNM berkata penggunaan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberikan apa-apa konotasi bahawa bank memberikan kebenaran, perlesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan mata wang digital.

"Orang ramai diingatkan bahawa mata wang digital adalah tidak sah diperlakukan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan dan amalan pasaran yang terpakai pada insitusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM .

"Ini selaras dengan obligasi pelaporan semasa yang digunakan di bawah AMLA terhadap institusi-institusi pelaporan lain seperti firma undang-undang atau perakaunan dan ejen hartanah yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa BNM," katanya lagi.

Orang ramai dinasihatkan untuk menilai dengan teliti risiko yang berkaitan dengan urus niaga dalam mata wang digital, termasuk risiko yang berpunca daripada turun naik harga yang ketara, ketiadaan pasaran yang dalam serta mudah terdedah kepada serangan siber, yang boleh membawa kepada kerugian yang besar.

Pengguna mata wang digital juga tidak akan dilindungi di bawah pengaturan penyelesaian pertikaian yang mapan yang disediakan untuk institusi-institusi kewangan yang dikawal selia sekiranya berlaku sebarang pertikaian atau kerugian.

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap penukar mata wang digital adalah langkah pertama ke arah menjadikan aktiviti mata wang digital yang lebih telus di Malaysia.

Ia akan terus memantau dan menilai risiko-risiko yang dihadapi oleh sistem kewangan melalui aktiviti seperti ini bagi memastikan integriti sistem berkenaan tidak terabai.

BNM mengalu-alukan maklum balas bertulis mengenai keperluan spesifik yang dinyatakan dalam draf cadangan dan maklum balas. Ia hendaklah dikemukakan menjelang 14 Januari 2018. – Bernama, 15 Disember, 2017.

Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/27735/

REVOLUSI TEKNOLOGI DIGITAL DAN EKONOMI

REVOLUSI TEKNOLOGI DIGITAL DAN EKONOMI INTERNET PACU TRANSFORMASI INDUSTRI KANDUNGAN MASA HADAPAN

Kuala Lumpur, 20 Oktober – Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Kamil Othman menyifatkan perkembangan pesat revolusi teknologi digital yang memacu semua industri termasuk industri kreatif di peringkat global pada masa kini perlu menjadi nadi kepada transformasi pembangunan dan dasar yang akan dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, selaras dengan halatuju transformasi agensi ini yang turut merealisasikan sasaran kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi melalui Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan potensi Ekonomi Internet bagi Malaysia seperti saranan YAB Perdana Menteri untuk tahun 2017 turut menjadi teras penting dengan pemangkin strategic bagi memacu ekonomi industry kreatif kearah revolusi digital khususnya dengan pemerkasaan pembangunan ekosistem, pasaran, sosio ekonomi dan dasar baharu.

Menurut beliau ketika ditemubual sempena wawancarakhas di Radio Nasional FM sebentar tadi, “FINAS menyahut penuh aspirasi kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang melihat potensi besar industri kreatif untuk menjana ekonomi Negara dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini melalui penggalakkan ekosistem baharu berasaskan revolusi digital dan teknologi, eksploitasi harta intelek seterusnya bersaing di pasaran antarabangsa dan kami komited dengan cabaran bagi meningkatkan pelaburan eksport global dan kualiti produk kandungan demi mencapai sasaran 18.2 peratus Ekonomi Digital Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020”

Menurut beliau lagi, FINAS optimis dengan sasaran Negara berpendapatan tinggi melalui pencapaian pelaburan industri sebanyak RM 7.2 bilion dengan potensi peluang pekerjaan sebanyak 50 ribu pada tahun 2020.Justeru, strategi dan insiatif baharu FINAS melalui pelan strategik transformasi industri adalah mengambil kira revolusi dan lanskap industri global.Sebagai contoh, pembangunan pasaran dan pengedaran filem domestic bukan sahaja bergantung kepada pawagam konvesional tetapi merangkumi potensi teknologi digital dan ekonomi internet di media baharu yang bersifat maya dan luas di mana filem dicapai di hujung jari dengan kesan penontonan total dan impresif khususnya generasi muda di bawah 35 tahun. Melihat potensi pelaburan eksport kandungan pada tahun ini berjumlah RM240 juta, ia dijangka meningkat di masa hadapan dengan aplikasi dan capaian jaringan pemasaran dan pengedaran maya oleh syarikat tempatan di peringkat global dengan peranan ekonomi internet ini tadi.

Ketua Pengarah yang turut mengulas cadangan bajet 2017 bagi industry kandungan, FINAS komited untuk meningkatkan strategi pembangunan domestic melalui pengecualian cukai kepada pelabur bagi penerbitan filem selain meningkatkan pelaburan eksport kandungan tempatan melalui jaringan kerjasama produksi antarabangsa dengan peranan FINAS di badan perfileman dan kandungan dunia seperti pelantikan semula Kamil mewakili Malaysia sebagai Timbalan Presiden Asian Film Commissions Network (AFCNet) oleh 18 buah Negara anggota selain Asia Content Business Summit (ACBS). “FINAS akan terus meningkatkan kualiti pembangunan modal insane karyawan industri dengan suntikan pelaburan bagi program pembangunan ilmu dan profesion di seluruh Negara khususnya generasi muda dan progresif sebagai memenuhi sasaran tenaga kerja professional industri menjelang tahun 2020” ujarnya lagi.

Sumber: http://www.finas.gov.my/technology-digital/

PROGRAM eUSAHAWAN

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau lebih dikenali sebagai MDEC telah melancarkan program eUsahawan pada tahun 2015. Dengan tujuan untuk memberi pendedahan dan memurnikan inspirasi keusahawanan digital dalam kalangan belia Malaysia dan para usahawan mikro Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk menjana pendapatan lumayan menerusi platform digital.

Program ini adalah satu bentuk inisiatif MDEC dan kerajaan untuk membudayakan keusahawanan digital dalam kalangan rakyat justeru turut merancakkan ekonomi negara.

Sehubungan dengan jalinan kerjasama semua pihak untuk melaksanakan pengukuhan ekonomi negara, program eUsahawan turut mendokong aspirasi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang memperlihatkan usaha siaga kerajaan untuk membantu rakyat meningkatkan ekonomi diri dan keluarga ke paradigma yang lebih tinggi. DFTZ menjadi satu medan strategik gabungan zon fizikal dan maya yang membolehkan keberkesanan proses inovasi berasaskan internet dan e-dagang antarabangsa. Pacuan projek ini juga dilaksanakan dengan pelbagai program seperti ekosistem e-dagang, Digital Maker Movement dan pengenalan kategori lokasi baru iaitu Hab Digital Malaysia.

Justeru itu, program eUsahawan menawarkan satu dunia ilmu keusahawanan untuk diterokai oleh mereka yang berani berubah dan berminat untuk mengembangkan sayap di alam perniagaan. Para peserta akan diberi pendedahan terhadap teknik pemasaran digital yang efektif, praktikal dan relevan dalam dunia semasa.

Objektif jangka panjang program eUsahawan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang keusahawan digital, seterusnya membolehkan mereka untuk memanfaatkan kuasa platform digital untuk mengembangkan perniagaan mereka selaras dengan agenda ekonomi digital negara.

Sumber: https://eusahawan.mdec.my/program-eusahawan/

PASARAN DIGITAL

Malaysia kini membuka peluang kepada usahawan untuk terus mengembangkan ekonomi berteraskan sektor digital. Industri digital di Malaysia mempunyai potensi untuk terus berkembang memandangkan banyak perkara yang masih belum diteroka.

Program digital Malaysia turut menyasarkan hasrat bagi menjana 160 ribu peluang pekerjaan disamping menarik minat lebih pelabur asing ke Malaysia. Penglibatan usahawan sangat penting dalam program digital ekonomi disebabkan peluang masih terbuka. Ia sekaligus menjana peningkatan Pendapatan Negara Kasar.

Kerajaan memberi tumpuan dalam pertumbuhan digital ekonomi melalui akses, pengambilan & penggunaan. Penglibatan usahawan digital dalam kalangan belia serta pengusaha PKS berdasarkan rangka Kerja Ekonomi Digital dilihat mampu menempa kejayaan dengan memanfaatkan penggunaan jalur lebar secara positif bagi menjana pendapatan & mengubah taraf hidup. PKS dapat memanfaatkan saiz pasaran yang besar melalui perniagaan dalam talian, disamping dapat mengurangkan kos pemasaran. Berdasarkan laporan Industri, pengguna di Malaysia secara purata menghabiskan masa lebih daripada 20jam seminggu di hadapan skrin internet dan terdapat lebih 20juta pengguna internet yang aktif di negara ini. Fakta menunjukkan bahawa penglibatan usahawan PKS & IKS yng menggunakan internet sebagai platform pemasaran produk & perkhidmatan masing-masing masih rendah. Meskipun kadar penembusan internet di negara ini berada pada tahap 67%, hanya 15% daripada 700 ribu usahawan yang menjalankan perniagaan mereka secara dalam talian.

Source: http://duanreader.blogspot.com/2016/03/pasaran-digital.html

HAB DIGITAL MALAYSIA AKAN DIPERLUAS

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bercadang memperluaskan Hab Digital Malaysia di luar Lembah Klang awal tahun hadapan bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekosistem syarikat pemula niaga atau 'startup' di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata jika dibawakan ekosistem yang betul, pihaknya yakin jumlah syarikat pemula niaga yang berkualiti di Malaysia akan bertambah.

Antara lokasi baharu yang dicadangkan untuk Hab Digital Malaysia itu kelak adalah di Pulau Pinang, Johor termasuk Sabah dan Sarawak.

"Kami sedang meneroka peluang baharu dan lokasi pembukaan hab digital ini kelak kerana MDEC mahukan syarikat pemula niaga ini bakal menjadi pekerjaan masa hadapan.

"Kami mahukan inovasi baharu selain bakat muda dalam pengembangan perniagaan mereka bukan saja di Malaysia tetapi melangkaui pasaran ASEAN, Asia Selatan dan juga global.

"Hab Digital Malaysia membuka peluang kepada syarikat berkenaan berkembang menerusi integrasi dengan syarikat pemula niaga lain atau syarikat lebih berpengalaman," katanya selepas majlis Mobile Internet Fulfilment Exchange (MIFE) di sini.

Yasmin berkata, pengembangan Hab Digital Malaysia bukan saja dinilai melalui berapa banyak ia dibuka tetapi lebih kepada sistem yang ingin diberikan kepada syarikat pemula niaga.

Hab Digital Malaysia yang diumumkan penubuhannya April lalu menawarkan ruang bekerja bersama di bawah satu bumbung kepada syarikat pemula niaga.

"Namun inisiatif utama adalah meningkatkan komuniti melalui kerjasama korporat, ekosistem pembiayaan, ekosistem bakat dan juga bimbingan. Penyertaan syarikat korporat dalam hab ini adalah paling digalakkan oleh MDEC.

"Kami juga mahu golongan muda menyertai bidang perniagaan terutamanya syarikat pemula niaga kerana suatu hari nanti kita boleh menghasilkan golongan muda yang mencipta kerjaya bukan hanya pencari kerjaya," katanya.

Mengenai MIFE pula, Yasmin berkata pihaknya bekerjasama dengan Axiata Digital dalam membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan ke ASEAN dan Asia Selatan melalui platform Aplikasi Pengaturcaraan Antara Muka (API).

Platform Axiata Digital MIFE katanya menyediakan usahawan akses selamat kepada servis API dan penyelesaian tanpa pendedahan kepada sistem sokongan dan maklumat.

Katanya, usahawan tempatan terutamanya syarikat pemula niaga bakal dapat akses 320 juta pangkalan pelanggan Axiata di sembilan negara

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2017/11/350634/hab-digital-malaysia-akan-diperluas

MEWUJUDKAN PERNIAGAAN MATA WANG DIGITAL YANG TELUS DI MALAYSIA

Menggunakan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai Institusi Pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001

Bank Negara Malaysia (Bank) hari ini mengeluarkan draf cadangan (exposure draft)  untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai penggunaan obligasi pelaporan bagi perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA). Ini bertujuan untuk memastikan langkah-langkah yang berkesan dilaksanakan bagi menangani risiko pengubahan wang haram/pembiayaan keganasan yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital dan meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

Dasar yang dicadangkan ini menggariskan obligasi undang-undang, keperluan dan piawaian yang akan ditakrifkan di bawah Jadual Pertama AMLA, yang perlu dilaksanakan oleh penukar mata wang digital sebagai institusi pelapor. Ini termasuk obligasi ketelusan yang bertujuan memberikan maklumat yang berkaitan supaya orang ramai memahami dan menilai dengan lebih baik mengenai risiko berkaitan dengan penggunaan mata wang digital. Ketelusan yang lebih tinggi juga akan mencegah penggunaan mata wang digital dalam aktiviti jenayah atau yang menyalahi undang-undang. Sebagai institusi pelapor, penukar mata wang digital juga perlu mengisytiharkan maklumat terperinci kepada Bank.

Kegagalan untuk mengisytiharkan maklumat terperinci sebagai institusi pelapor atau mematuhi obligasi pelaporan mungkin menyebabkan penukar mata wang digital dikenakan tindakan penguatkuasaan atau ketidakpatuhan seperti yang diperuntukkan di bawah AMLA serta kemungkinan perkhidmatan ditamatkan atau tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

1. Bank Negara Malaysia tidak mengawal selia mata wang digital

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberikan apa-apa konotasi bahawa Bank memberikan kebenaran, pelesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terlibat dengan penyediaan perkhidmatan mata wang digital. Orang ramai diingatkan bahawa mata wang digital tidak sah diperlakukan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan dan amalan pasaran yang terpakai pada institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank. Ini selaras dengan obligasi pelaporan semasa yang digunakan di bawah AMLA terhadap institusi pelapor lain seperti firma undang-undang atau perakaunan dan ejen harta tanah yang tidak tertakluk di bawah kawal selia Bank.

2. Orang ramai bertanggungjawab terhadap penilaian risiko

Orang ramai dinasihatkan untuk menilai dengan teliti risiko berkaitan dengan urus niaga dalam mata wang digital. Ini termasuk risiko yang berpunca daripada turun naik harga yang ketara, ketiadaan pasaran yang dalam dan mudah terdedah terhadap serangan siber yang boleh menyebabkan kerugian yang ketara. Pengguna mata wang digital juga tidak akan dilindungi di bawah pengaturan penyelesaian pertikaian yang mapan yang disediakan untuk institusi kewangan yang dikawal selia sekiranya berlaku apa-apa pertikaian atau kerugian.

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap penukar mata wang digital merupakan langkah pertama ke arah menjadikan aktiviti mata wang digital yang lebih telus di Malaysia. Bank akan terus memantau dan menilai risiko yang dihadapi sistem kewangan melalui aktiviti seperti ini bagi memastikan integriti sistem kewangan terus terpelihara.

Bank mengalu-alukan maklum balas bertulis mengenai keperluan khusus yang digariskan dalam draf cadangan. Maklum balas hendaklah dihantar kepada Bank sebelum atau pada 14 Januari 2018.

Source: http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press&pg=bm_press&ac=4576&lang=bm

EKONOMI DIGITAL DAN AUTOMASI MEMBERI KESAN KEPADA PASARAN PEKERJA MALAYSIA

AMBANK Research percaya bahawa tekanan ke atas pasaran buruh di Malaysia disebabkan oleh ekonomi digital yang semakin meningkat yang menyebabkan penggunaan automasi boleh menyumbangkan kepada kadar pengangguran yang meningkat.

Dalam laporan ekonomi baru-baru ini, firma penyelidikan itu berkata: “Dengan ekonomi yang berkembang pada kadar 5.5% pada 2018 daripada 5.9% pada tahun 2017, kita perlu melihat pasaran buruh yang masih kekal dengan kadar pengangguran yang berkisar 3.2% – 3.3%.”

Penyelidikan AmBank juga menjangkakan beberapa kelemahan dalam pasaran buruh, berikutan peningkatan ekonomi digital (yang dijangka menyumbang kira-kira 20% kepada keluaran dalam negara kasar negara pada tahun 2020).

“Individu di semua peringkat perlu aktif mengembangkan kemahiran mereka, sentiasa relevan dan tidak mencabar trend perubahan semasa berada sektor masing-masing kerana banyak sektor sedang dibentuk semula oleh teknologi yang telah mewujudkan peranan baru dan permintaan yang berbeza untuk mereka yang sedang berkerja.”

AMBANK Research

Mengulas mengenai tekanan ke atas pasaran buruh, firma penyelidikan berkata ini boleh berlaku apabila individu di semua peringkat gagal untuk secara mengembangkan kemahiran mereka untuk berada di dalam pasaran digital, dan sebaliknya mencabar trend perubahan semasa berada di dalam sektor masing-masing.

Source: https://www.dewvation.com/ekonomi-digital-dan-automasi-memberi-kesan-kepada-pasaran-pekerja-malaysia/

MALAYSIA SUBUR BUDAYA E-DAGANG

KUALA LUMPUR 1 Dis. - Malaysia akan terus me­ne­rapkan budaya e-dagang dan dalam usaha untuk me­wujudkan ekosistem digital yang inovatif dan dinamik apabila menjalin kerjasama erat dengan China untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Alibaba Group baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman untuk menghubungkan e-hab di bawah Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP).

HSBC Bank Malaysia Bhd. berkata, kerjasama tersebut bertujuan untuk membina infrastruktur bagi perdagangan e-dagang merentas sempadan yang lancar antara Malaysia dan China, selain menjadi hab bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin menjalankan aktiviti komersial, dan mereka boleh mendapatkan perkhidmatan terdiri daripada e-dagang, pengkomputeran awan, logistik, pembayaran mudah alih dan latihan tenaga kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Mukhtar Hussain, berkata teknologi digital yang semakin meluas pen­ting untuk mengukuhkan produktiviti, inovasi dan taraf hidup me­rentasi ekonomi yang lebih luas.

“Dengan eWTP, Malaysia me­­neruskan visi transformasi eko­nominya dan mengambil langkah untuk menjadi hab penunaian dan sumber utama di Asia,” kata­nya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, #MYCYBERSALE dengan kerjasama MDEC, mencapai nilai dagangan kasar (GMV) lebih RM300 juta pada tahun ini, meningkat 42 peratus berbanding RM211 juta pada 2016, dalam tempoh lima hari dari 9-13 Oktober lalu.

Inisiatif ini bertujuan untuk menggalakkan lebih 1,000 PKS dalam talian menerapkan e-dagang dan meningkatkan inovasi selain merangsang pasaran e-dagang domestik.

“Kejayaan inisiatif itu menunjukkan rakyat Malaysia terus me­nerapkan budaya e-dagang.

“Kita dapat melihat perubahan dari segi cara rakyat Malaysia membeli-belah. Suatu yang baik untuk melihat industri e-dagang dan ekonomi digital berkembang dengan begitu pesat,” kata Mukhtar.

Beliau berkata, kemasukan penyedia dompet elektronik (e-dompet) turut dijangka mengubah landskap sistem pembayaran di Malaysia.

Kemunculan e-dompet akan terus menyumbang kepada pembangunan e-dagang dan menambah baik sistem pembayaran runcit dengan menawarkan proses pembayaran yang selamat, cepat dan mudah selain menyokong usa­ha global ke arah masyarakat tanpa tunai, kata Mukhtar. – BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/malaysia-subur-budaya-e-dagang-1.564829

E-DAGANG MALAYSIA KINI INDUSTRI BERNILAI RM246 BILION - iPRICE

KUALA LUMPUR: Industri e-dagang Malaysia berkembang pesat selepas lonjakannya pada pertengahan 2000-an dan kini merupakan perniagaan yang bernilai RM24.6 bilion, kata iPrice Group.

iPrice Group ialah laman web e-dagang meta-carian yang membolehkan pembeli Malaysia berhubung dengan beratus-ratus peniaga e-dagang dan mencari produk, membanding harga dan mendapatkan tawaran terbaik.

iPrice dalam satu kenyataan hari ini berkata Lazada berada di senarai teratas syarikat e-dagang utama di Malaysia, diikuti Zalora dan 11 Street, berdasarkan kepada trafik dalam talian mereka, jumlah kakitangan dan pengikut di aplikasi media sosial seperti SimilarWeb, LinkedIn, Facebook, Instagram dan Twitter.

Laman web Lazada menerima purata 29 juta pengunjung setiap bulan manakala 11 Street sembilan juta pengunjung.

"Kesemua tiga syarikat e-dagang utama ini berpangkalan di Asia Tenggara.

"Walaupun laman web e-dagang dari luar rantau Asia Tenggara seperti eBay dan Sephora juga dilayari rakyat Malaysia, laman e-dagang serantau dan tempatan dianggap lebih berjaya, kemungkinan disebabkan oleh pengetahuan lokal pasaran e-dagang tempatan yang memberikan mereka kelebihan," kata laman web itu.

Sementara itu, Lelong.com berada dalam senarai teratas syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia, dengan laman webnya mencatatkan purata trafik 6.33 bilion semasa suku kedua 2017.

"Ditubuhkan pada 1998, Lelong.com kemungkinan merupakan syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia yang paling lama dan ia kekal menjadi platform dagang-bagi-dagang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana mereka merupakan antara yang pertama melihat potensi e-dagang," kata laman web itu.

IPrice berkata e-dagang fesyen tempatan seperti Fashion Valet dan Poplook juga semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Jenama tempatan ini biasanya berkembang menerusi laman media sosial seperti Instagram, di mana mereka dengan mudah boleh mempamerkan produk mereka menerusi imej dan perkongsian dengan jenama dan selebriti popular tempatan," kata laman web itu.

Menurut IPrice, jenama fesyen di Malaysia meraih manfaat daripada penggunaan model e-dagang dalam menjalankan operasi mereka kerana ia membolehkan mereka menyusun perniagaan mereka mengikut keperluan pengguna.

-- BERNAMA

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-bisnes/e-dagang-malaysia-kini-industri-bernilai-rm24-6-bilion-iprice-152711

PERDAGANGAN DAN E-DAGANG

Malaysia merupakan salah sebuah daripada 20 negara perdagangan terbesar di dunia dan merupakan salah sebuah pembekal terbesar dunia bagi barang-barang seperti produk berasaskan getah, produk berasaskan kelapa sawit, produk berasaskan kayu, produk elektronik dan ICT, produk automotif, tekstil, buah-buahan dan makanan, dan produk-produk petrokimia.

Eksport
Aktiviti eksport iaitu menjual produk yang dihasilkan dalam negara ini kepada negara lain merupakan salah satu punca pendapatan negara yang banyak membantu pertumbuhan ekonomi.  Kerajaan menyediakan sistem sokongan bagi membantu pengeksport dari segenap aspek termasuk bantuan pemasaran dan promosi, pembiayaan, pengiktirafan, perundangan, panduan dagang dan sebagainya.

Kemudahan Untuk Pengeksport
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) adalah agensi utama yang bertindak sebagai pusat aktiviti bagi pengeksport Malaysia dan pengimport luar negara untuk mendapatkan maklumat berkaitan perdagangan antarabangsa.  Kemudahan yang disediakan MATRADE bertujuan membantu syarikat-syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa, seterusnya mengukuhkan imej Malaysia sebagai rakan kongsi perniagaan bertaraf global.

Kemudahan Untuk Pengimport Asing
Di samping menyediakan kemudahan untuk pengeksport Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga menyediakan kemudahan untuk pengimport dari luar negara dalam membina jalinan perniagaan dengan pengeksport Malaysia.  

Import
Malaysia telah menjalin perhubungan perdagangan termasuk perhubungan dua hala dengan banyak negara di rantau Asia, Afrika, Amerika, Australasia, Eropah dan Asia Barat.  Pengusaha perniagaan Malaysia boleh mengimport barang-barang dari luar negara untuk diedarkan di Malaysia.  

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian menyediakan khidmat pemudahan perdagangan bagi membantu pengimport manakala Kastam Diraja Malaysia serta agensi-agensi Kerajaan tertentu telah menetapkan beberapa peraturan dan tatacara. 

Duti dan Cukai
Kerajaan Malaysia mengenakan duti dan cukai ke atas barang-barang yang dieksport/import.  Duti dan cukai dikutip dan diuruskan oleh Kastam Diraja Malaysia.

Perjanjian Perdagangan
Dasar perdagangan Malaysia bertujuan untuk melaksanakan liberalisasi menerusi peraturan berdasarkan sistem perdagangan pelbagai hala di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Selain itu juga Malaysia juga memilih untuk melaksanakan penyusunan perdagangan dua hala. 

Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA)
AFTA ialah zon perdagangan bebas antara negara-negara ASEAN iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Laos, Myanmar, Kemboja dan Brunei. AFTA merupakan satu usaha untuk melonggarkan halangan perdagangan supaya mendapat faedah terus. 

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)
WTO (dahulunya Perjanjian Am Ke Atas Tarif dan Perdagangan (GATT) merupakan salah satu organisasi global yang berurusan dengan peraturan perdagangan di antara negara-negara. Tujuan utama penubuhan WTO adalah untuk membantu pengeluar barangan, pengeksport, dan pengimport untuk mengendalikan perniagaan mereka.

Skim Tariff Keutamaan Sama Rata ( CEPT )
Skim Tariff Keutamaan Sama Rata (CEPT) adalah kerjasama di antara negara-negara ASEAN untuk mengurangkan tariff serantau (intra-regional) dan melucutkan sekatan bukan tarif. Selama 10 tahun berkuatkuasa pada 1 Januari 1993.

Lesen dan Permit 
Aktiviti import dan eksport adalah di bawah kawalan Akta Larangan Kastam 1967 bagi memberi perlindungan kepentingan kepada pengilang, kepentingan kesihatan dan kitar hayat kilang tempatan dan juga kepentingan keselamatan negara. Lesen dan permit untuk mengeksport dan mengimport harus diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia.

Program Latihan Eksport
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan seminar dan bengkel bagi mengemaskini pengeksport dengan maklumat perdagangan dan perniagaan di pasaran antarabangsa.  

Promosi Perdagangan 
Kerajaan mempertanggungjawabkan beberapa agensinya dalam mempromosikan produk untuk didagangkan. Agensi-agensi ini melaksanakan program-program bertujuan memperkenalkan produk-produk baru ke pasaran dan membantu usahawan memasarkan produk mereka. Antara agensi yang bertanggungjawab menjalankan promosi perdagangan bagi peniaga tempatan ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Statistik Perdagangan 
Pertumbuhan ekonomi Malaysia boleh dilihat pada statistik yang telah disediakan oleh agensi-agensi yang terlibat dengan aktiviti perdagangan.

E-Dagang 
Internet merupakan alat komunikasi yang amat berkuasa di dalam perdagangan. Perdagangan yang dijalankan melalui Internet (e-Dagang) adalah lebih pantas dan cekap kerana pedagang dapat mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa urusniaga dan penghantaran serta meluaskan jalinan strategik di antara pedagang.  

E-Perolehan 
E-Perolehan membolehkan para pembekal memamerkan produk mereka di dalam jaringan web sedunia; menerima, mengurus dan memproses pesanan pembelian serta menerima bayaran daripada agensi-agensi kerajaan menerusi Internet.

Maklumat Pasaran Antarabangsa 
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) juga menyediakan maklumat mengenai pasaran antarabangsa untuk pengeksport-pengeksport Malaysia. 

Sumber: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/umum/1170-perdagangan-dan-e-dagang.html