KUALA LUMPUR: Malaysia
berisiko diturunkan penarafan kredit jika ekonomi negara tidak diurus dengan
baik, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Beliau berkata, sekiranya
penafaran kredit diturunkan, kos pinjaman akan meningkat sekali gus memberi
kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
"A- atau A3 membolehkan
syarikat korporat meminjam pada tahap yang munasabah. Sekiranya kredit negara
diturunkan, maka kos pinjaman akan meningkat," katanya di luar acara Invest
Malaysia 2018 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Wahid
berkata, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan amanat yang cukup jelas mengenai
pencapaian ekonomi negara sejak 2009.
"Apa yang telah kita
(kerajaan) lakukan bukan hanya untuk pasaran yang meluas, tetapi mentadbir
dengan pelbagai dasar dan langkah untuk menjadikan ekonomi negara lebih
inklusif, adil dan mampan. Inilah cara kerajaan menguruskan kewangan.
"Melihat kepada pakej
yang lebih holistik, ekonomi makro, dasar monetari dan prestasi sektor korporat
sangat penting dan diharapkan ia bertambah baik pada 2018 dalam usaha meningkat
pendapatan, mengoptimumkan kos dan menjana lebih banyak pulangan kepada
pemegang saham," katanya.
Beliau berkata, semua pihak
juga perlu mengambil langkah mengurangkan kebergantungan terhadap sumber semula
jadi dan mempelbagaikan asas pendapatan.
Mengulas mengenai prestasi
kewangan PNB, Abdul Wahid berkata, syarikat pelaburan itu mencatatkan momentum
positif bagi bulan pertama 2018 dan ia dijangka berterusan sepanjang tahun ini.
"2017 adalah tahun yang
sangat baik bagi Malaysia dan kesannya dapat dirasai dalam pasaran saham di
mana KLCI meningkat sebanyak sembilan peratus pada tahun lalu.
"Bagi syarikat kami,
pasaran permodalan meningkat dua kali ganda. Memasuki 2018, momentum ini
dijangka berterusan," katanya.
Menyentuh mengenai prestasi
ringgit, beliau menjangkakan ringgit kekal kukuh pada tahun ini disokong oleh
keyakinan pelabur asing dan pengukuhan sektor perniagaan.
Sumber: http://www.bhplus.com.my/bisnes/pasaran/2018/01/379430/penarafan-kredit-bukti-ekonomi-negara-diurus-baik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan