"BLOG INI KHAS UNTUK PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN.TERIMA KASIH KERANA JADI PENGGUNA BIJAK"

TIGA CABARAN UTAMA MENANTI


PUTRAJAYA: Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan Ekonomi Digital, Kecekapan Digital Kerajaan, Kesediaan dan Keupayaan (DGCCR) serta Melakar Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) adalah tiga cabaran utama sedang dan bakal dihadapi penjawat awam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bagi mendepani Industri 4.0 dan ekonomi digital, Perdana Menteri berkata, kerajaan berusaha menjayakan Dasar Digital Malaysia, malah pelancaran Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dilihat bakal menjadikan Malaysia sebagai hab ekonomi digital pertama di dunia di luar China.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan dijangka mewujudkan lebih 60,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi baharu khususnya kepada generasi muda.

"Penjawat awam perlu menyediakan persekitaran kondusif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital melalui pelaksanaan kerajaan digital sepenuhnya bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan dan masyarakat.

"Penjawat awam juga harus meningkatkan kecekapan dan keupayaan masing-masing supaya agensi kerajaan boleh bertindak sebagai fasilitator perkhidmatan dalam menambah baik kesalinghubungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelopori inisiatif DGCCR bagi menyediakan penjawat awam selaras pelaksanaan kerajaan digital.

"Cuba bayangkan, sektor awam yang mengguna pakai teknologi digital seperti cloud, mudah alih, media sosial dan Internet of Things atau IoT serta analisis data raya yang mampu menambah nilai penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

"Inilah antara realiti persekitaran kerja sebenar penjawat awam dalam kerajaan digital pada masa akan datang.

"Saya ingin menarik perhatian semua supaya menyokong usaha JPA dalam menyediakan penjawat awam ke arah pelaksanaan inisiatif berkenaan," katanya.

Najib juga mahu penjawat awam bersama-sama dengan kerajaan bagi melakar dan merealisasikan visi TN50 demi mencapai kegemilangan seperti diimpikan.

Menerusi amanat perdana MAPPA Ke-15 enam bulan lalu, beliau melancarkan buku Falsafah Asas TN50 yang banyak mengupas enam falsafah dan garis besar haluan menuju TN50.

Ia termasuk merekayasa Malaysia menjadi negara maju yang mencapai keseimbangan duniawi dan ukhrawi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/407570/tiga-cabaran-utama-menanti-pm

Tiada ulasan: