"BLOG INI KHAS UNTUK PERTANDINGAN BLOG KEPENGGUNAAN.TERIMA KASIH KERANA JADI PENGGUNA BIJAK"

BNM MULAKAN LANGKAH MENJADIKAN MATA WANG DIGITAL LEBIH TELUS

BANK Negara Malaysia (BNM) sedang berusaha untuk menjadikan mata wang digital sebagai medium yang lebih telus di Malaysia dengan pengeluaran draf cadangan bagi maklum balas orang ramai, mengenai penggunaan obligasi pelaporan bagi perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Bank pusat itu dalam satu kenyataan, berkata ia bertujuan bagi memastikan langkah-langkah yang berkesan dilaksanakan untuk menangani risiko pembiayaan keganasan/pengubahan wang haram yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital serta meningkatkan ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

"Dasar yang dicadangkan ini menggariskan obligasi undang-undang, keperluan dan piawaian yang akan ditakrifkan di bawah Jadual Pertama AMLA, yang perlu dilaksanakan sebagai laporan institusi.

"Ini termasuk obligasi ketelusan yang bertujuan untuk memberikan maklumat yang relevan kepada orang ramai bagi lebih memahami dan menilai risiko yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital. Ketelusan yang tinggi juga  akan dapat mengelakkan penggunaan mata wang digital dalam aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang," katanya.

Penukar mata wang digital juga perlu memberikan maklumat terperinci kepada BNM sebagai sebuah institusi pelaporan.

Kegagalan untuk berbuat demikian atau mematuhi obligasi pelaporan mungkin menyebabkan penukar mata wang digital dikenakan tindakan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah AMLA, termasuk kemungkinan penamatan atau tidak dibenarkan menggunakan perkhidmatan kewangan di Malaysia.

BNM berkata penggunaan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberikan apa-apa konotasi bahawa bank memberikan kebenaran, perlesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan mata wang digital.

"Orang ramai diingatkan bahawa mata wang digital adalah tidak sah diperlakukan di Malaysia. Sehubungan dengan itu, perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan dan amalan pasaran yang terpakai pada insitusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM .

"Ini selaras dengan obligasi pelaporan semasa yang digunakan di bawah AMLA terhadap institusi-institusi pelaporan lain seperti firma undang-undang atau perakaunan dan ejen hartanah yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa BNM," katanya lagi.

Orang ramai dinasihatkan untuk menilai dengan teliti risiko yang berkaitan dengan urus niaga dalam mata wang digital, termasuk risiko yang berpunca daripada turun naik harga yang ketara, ketiadaan pasaran yang dalam serta mudah terdedah kepada serangan siber, yang boleh membawa kepada kerugian yang besar.

Pengguna mata wang digital juga tidak akan dilindungi di bawah pengaturan penyelesaian pertikaian yang mapan yang disediakan untuk institusi-institusi kewangan yang dikawal selia sekiranya berlaku sebarang pertikaian atau kerugian.

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap penukar mata wang digital adalah langkah pertama ke arah menjadikan aktiviti mata wang digital yang lebih telus di Malaysia.

Ia akan terus memantau dan menilai risiko-risiko yang dihadapi oleh sistem kewangan melalui aktiviti seperti ini bagi memastikan integriti sistem berkenaan tidak terabai.

BNM mengalu-alukan maklum balas bertulis mengenai keperluan spesifik yang dinyatakan dalam draf cadangan dan maklum balas. Ia hendaklah dikemukakan menjelang 14 Januari 2018. – Bernama, 15 Disember, 2017.

Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/27735/

REVOLUSI TEKNOLOGI DIGITAL DAN EKONOMI

REVOLUSI TEKNOLOGI DIGITAL DAN EKONOMI INTERNET PACU TRANSFORMASI INDUSTRI KANDUNGAN MASA HADAPAN

Kuala Lumpur, 20 Oktober – Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Kamil Othman menyifatkan perkembangan pesat revolusi teknologi digital yang memacu semua industri termasuk industri kreatif di peringkat global pada masa kini perlu menjadi nadi kepada transformasi pembangunan dan dasar yang akan dilaksanakan. Sehubungan dengan itu, selaras dengan halatuju transformasi agensi ini yang turut merealisasikan sasaran kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi melalui Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan potensi Ekonomi Internet bagi Malaysia seperti saranan YAB Perdana Menteri untuk tahun 2017 turut menjadi teras penting dengan pemangkin strategic bagi memacu ekonomi industry kreatif kearah revolusi digital khususnya dengan pemerkasaan pembangunan ekosistem, pasaran, sosio ekonomi dan dasar baharu.

Menurut beliau ketika ditemubual sempena wawancarakhas di Radio Nasional FM sebentar tadi, “FINAS menyahut penuh aspirasi kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang melihat potensi besar industri kreatif untuk menjana ekonomi Negara dan mewujudkan peluang pekerjaan di negara ini melalui penggalakkan ekosistem baharu berasaskan revolusi digital dan teknologi, eksploitasi harta intelek seterusnya bersaing di pasaran antarabangsa dan kami komited dengan cabaran bagi meningkatkan pelaburan eksport global dan kualiti produk kandungan demi mencapai sasaran 18.2 peratus Ekonomi Digital Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020”

Menurut beliau lagi, FINAS optimis dengan sasaran Negara berpendapatan tinggi melalui pencapaian pelaburan industri sebanyak RM 7.2 bilion dengan potensi peluang pekerjaan sebanyak 50 ribu pada tahun 2020.Justeru, strategi dan insiatif baharu FINAS melalui pelan strategik transformasi industri adalah mengambil kira revolusi dan lanskap industri global.Sebagai contoh, pembangunan pasaran dan pengedaran filem domestic bukan sahaja bergantung kepada pawagam konvesional tetapi merangkumi potensi teknologi digital dan ekonomi internet di media baharu yang bersifat maya dan luas di mana filem dicapai di hujung jari dengan kesan penontonan total dan impresif khususnya generasi muda di bawah 35 tahun. Melihat potensi pelaburan eksport kandungan pada tahun ini berjumlah RM240 juta, ia dijangka meningkat di masa hadapan dengan aplikasi dan capaian jaringan pemasaran dan pengedaran maya oleh syarikat tempatan di peringkat global dengan peranan ekonomi internet ini tadi.

Ketua Pengarah yang turut mengulas cadangan bajet 2017 bagi industry kandungan, FINAS komited untuk meningkatkan strategi pembangunan domestic melalui pengecualian cukai kepada pelabur bagi penerbitan filem selain meningkatkan pelaburan eksport kandungan tempatan melalui jaringan kerjasama produksi antarabangsa dengan peranan FINAS di badan perfileman dan kandungan dunia seperti pelantikan semula Kamil mewakili Malaysia sebagai Timbalan Presiden Asian Film Commissions Network (AFCNet) oleh 18 buah Negara anggota selain Asia Content Business Summit (ACBS). “FINAS akan terus meningkatkan kualiti pembangunan modal insane karyawan industri dengan suntikan pelaburan bagi program pembangunan ilmu dan profesion di seluruh Negara khususnya generasi muda dan progresif sebagai memenuhi sasaran tenaga kerja professional industri menjelang tahun 2020” ujarnya lagi.

Sumber: http://www.finas.gov.my/technology-digital/

PROGRAM eUSAHAWAN

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia atau lebih dikenali sebagai MDEC telah melancarkan program eUsahawan pada tahun 2015. Dengan tujuan untuk memberi pendedahan dan memurnikan inspirasi keusahawanan digital dalam kalangan belia Malaysia dan para usahawan mikro Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk menjana pendapatan lumayan menerusi platform digital.

Program ini adalah satu bentuk inisiatif MDEC dan kerajaan untuk membudayakan keusahawanan digital dalam kalangan rakyat justeru turut merancakkan ekonomi negara.

Sehubungan dengan jalinan kerjasama semua pihak untuk melaksanakan pengukuhan ekonomi negara, program eUsahawan turut mendokong aspirasi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang memperlihatkan usaha siaga kerajaan untuk membantu rakyat meningkatkan ekonomi diri dan keluarga ke paradigma yang lebih tinggi. DFTZ menjadi satu medan strategik gabungan zon fizikal dan maya yang membolehkan keberkesanan proses inovasi berasaskan internet dan e-dagang antarabangsa. Pacuan projek ini juga dilaksanakan dengan pelbagai program seperti ekosistem e-dagang, Digital Maker Movement dan pengenalan kategori lokasi baru iaitu Hab Digital Malaysia.

Justeru itu, program eUsahawan menawarkan satu dunia ilmu keusahawanan untuk diterokai oleh mereka yang berani berubah dan berminat untuk mengembangkan sayap di alam perniagaan. Para peserta akan diberi pendedahan terhadap teknik pemasaran digital yang efektif, praktikal dan relevan dalam dunia semasa.

Objektif jangka panjang program eUsahawan adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang keusahawan digital, seterusnya membolehkan mereka untuk memanfaatkan kuasa platform digital untuk mengembangkan perniagaan mereka selaras dengan agenda ekonomi digital negara.

Sumber: https://eusahawan.mdec.my/program-eusahawan/